FREEMASON(PENGENALAN)

Sunday 27 March 2011 | | |


Freemason ialah pertubuhan persaudaraan yang muncul dengan asal usul yang kabur antara akhir abad ke-16 hingga awal abad ke-17. Pertubuhan ini kini wujud dalam berbagai-bagai bentuk di seluruh dunia, dengan keahliannya dianggarkan sebanyak sekitar lima juta (termasuk sekitar 480,000 orang di England, Scotland dan Ireland sahaja, serta lebih kurang dua juta orang di Amerika Syarikat).[1][2] Pertubuhan Freemason yang wujud dalam pelbagai bentuk berkongsi prinsip dan pandangan moral dan metafizik yang sama, lazimnya mereka berkongsi kepercayaan kepada satu Makhluk Agung (Supreme Being).[3]

Asal-usul

Kultus kuno

Terdapat pelbagai legenda dan teori mengenai asal-usul kewujudan Freemason. Ada yang mengaitkannya dengan kultus Iris-Osiris pada zaman Mesir kuno. Ada pula yang mengatakan bahawa ia ditubuhkan pada abad ke-2 SM oleh ahli kitab atau pendeta Yahudi daripada mazhab Essene.

Sesetengah ilmuan Freemason berpendapat bahawa bahawa Freemason menjejak akar umbi mereka kepada pembinaan Haikal Sulaiman (King Solomon’s Temple) di Jerusalem pada 967 S.M. Asas cerita itu tertumpu kepada seseorang yang bernama Hiram Abiff yang mendakwa mengetahui rahsia Haikal Sulaiman. [4] [5]

Kesatria Templar

Freemason juga dikaitkan dengan ahli Kesatria Templar (Knight's Templar). Mengikut legenda, pada abad ke-11, Kesatria Templar telah menjumpai harta karun di tinggalan bangunan Haikal Sulaiman (berpandukan sesetengah pendapat; terletaknya di sebuah bilik rahsia di bawah Masjidil Aqsa). Ini menyebabkan kebanyakan mereka menjadi tersangat kaya sehinggalah harta itu dirampas oleh Raja Perancis Philip IV. Kesatria Templar dipenjarakan tetapi ada yang melarikan diri. Pergerakan ini menjadi sulit dan muncul kembali pada abad ke-17 di bawah nama Freemason.

Albert Pike (1872) pula dalam bukunya Morals and Dogma of the Ancient and Accepted Scottish Rite of Massonry, berpendapat bahawa pada kurun ke-11, Kesatria Templar telah berpakat bersama Ketua Gereja di Constantinople. Pada masa itu Ketua Gereja Constantinople (daripada Gereja Ortodoks Timur) bersaing dengan Gereja Katolik Rom. Ahli Kesatria Templar bersumpah setia untuk melindungi umat Kristian yang melawat tempat suci; manakala matlamat rahsia mereka adalah untuk membina semula Haikal Sulaiman. Binaan ini akan menjadi tempat paling suci untuk orang Kristian dan akan dapat menandingi kediaman suci Gereja Katolik di Roma. Ahli Templar berselindung di bawah nama Brethren-Masons. Nama ini Frères Maçons dalam bahasa Perancis dieja menjadi Free-Masons dalam bahasa Inggeris. [6]
Persatuan tukang batu

Penjelasan yang lebih berasas mengenai gerakan Freemason ialah ia berkembang daripada persatuan pemahat dan tukang batu (dalam bahasa Inggeris, pemahat atau tukang batu dipanggil mason atau stone mason) pada Zaman Pertengahan di Eropah. Pada masa itu, mereka diambil untuk bekerja oleh raja dan pihak gereja. Terdapat dua jenis tukang batu. Satu ialah tukang batu yang memahat batu-batu biasa yang dinamakan rough mason. Freestone mason pula adalah tukang batu yang memahat batu-batu yang lebih terperinci dan dengan kesenian. Mereka ini adalah golongan bebas (free) dan bukan hamba kepada mana-mana tuan yang kaya. Nama "Freestone mason" kemudian disingkatkan menjadi Freemason. Oleh sebab keistimewaan dan kebolehan mereka, golongan ini menubuhkan kelab atau persatuan sendiri untuk membincangkan pertukangan, kesenian dan kadar upah mereka. Salam tangan rahsia, kata-kata rahsia dan tanda-tanda lain direka untuk membezakan mereka dengan tukang batu yang lain.

Sejarah

Terdapat beberapa bukti Freemason mula tersebar di benua Eropah seawal akhir kurun ke-16 Masehi. Salah satu bukti bertulis awal yang menunjukkan cabang Freemason telah ada di England pada tahun 1641 ialah rekod inisiasi Robert Moray, salah seorang keluarga raja. Moray menjadi anggota Freemason di Edinburgh pada 20 Mei 1641.[7] Selain itu, Elias Ashmole, yang juga berdarah keluarga Raja England, menulis dalam buku diarinya bahawa dia telah menjadi anggota Freemason di Lancashire, pada 16 Oktober 1646.[8]

Peristiwa penting dalam perkembangan Freemason adalah pada 24 Jun 1717 dengan terdirinya Loji Besar England (Grand Lodge of England). Dengan terdirinya pusat bagi persatuan itu di England, Freemason kini menjadi organisasi nasional yang tidak lagi bergerak secara rahsia. Loji Besar England merupakan gabungan daripada empat cabang Freemason dan mereka mempercayai falsafah yang sama iaitu "Agama yang mana semua manusia bersetuju... adalah menjadi Manusia yang Baik dan Benar" (Religion is which all men agree… that is, to be Good Men and True).

Dengan terbentuknya Loji Besar England, gerakan Freemason semakin merebak sehingga berkembang melintasi benua Eropah sehingga ke benua Amerika.

0 comments:

Post a Comment